Beza Antara Demam COVID-19 Dengan Demam Biasa

 


Wabak virus novel korona yang boleh menyebabkan demam selesema kini telah menyerang lebih daripada 70,000 individu di seluruh dunia. Kematian hampir mencecah 2,000 mangsa dan peratusan kematian berada pada 2.5%. 

Ia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan sindrom pernafasan timur tengah (MERS) yang turut disebabkan oleh virus korona.

Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesahkan bahawa 4 daripada 5 individu yang terjangkit akan mengalami simptom ringan, peningkatan kes hari demi hari masih lagi membimbangkan.

Antara simptom yang disenaraikan oleh Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) bagi individu yang dijangkiti dengan virus novel korona adalah demam, batuk dan sesak nafas. Masa inkubasi (jarak masa di antara waktu jangkitan dan simptom pertama) virus tersebut pula di antara 2 hingga 14 hari.

Oleh sebab itulah pengesan termal yang digunakan di lapangan terbang untuk menyaring individu yang mempunyai simptom demam dianggap tidak berkesan. Ini berikutan mereka yang berjangkit boleh tidak menunjukkan simptom dan dalam masa yang sama menyebarkannya tanpa disedari.

Jadi, apakah perbezaan di antara demam yang dialami oleh mereka dengan jangkitan virus novel korona dan individu yang mengalami selesema biasa? Tidak banyak.

Mereka yang mempunyai jangkitan wabak tersebut kebiasaannya mempunyai sejarah perubatan yang jelas. Ini bermakna, mereka pernah pergi ke lokasi yang tular wabak virus novel korona seperti wilayah Hubei atau pernah bergaul dengan individu yang disahkan positif wabak.

Walau bagaimanapun, maklumat itu tidak selalunya tepat. Mereka yang mempunyai sejarah perubatan sebegitu berisiko tinggi untuk mengalaminya, tidak bermakna mereka memang akan mendapat wabak. Oleh sebab itulah, pemeriksaan kesihatan perlu disuaikan dengan keputusan ujian makmal. 

Perintah kuarantin hanya akan dikeluarkan sekiranya individu tersebut mendapat keputusan positif untuk wabak tersebut.

Gejala demam yang dialami oleh mereka yang mendapat wabak ini juga mempunyai suhu yang tinggi (melebihi 38oC). Mereka yang demam selesema biasa seringkali mempunyai suhu badan yang kurang daripada 38oC.

Walau bagaimanapun perkara tersebut tidak boleh dijadikan sebagai panduan memandangkan jangkitan virus cenderung untuk menyebabkan anda mengalami demam panas bersuhu tinggi. 

Kebanyakan perbezaan yang sering diuar-uarkan berkaitan dengan demam tidak mempunyai ketepatan klinikal. Ini bermakna, seseorang individu itu boleh hadir tanpa demam dan dia disahkan positif virus novel korona.

Oleh sebab itu penting untuk anda berjumpa dengan doktor jika mengalami gejala selesema.

Adakah demam jangkitan virus novel korona boleh disembuhkan?


Jika anda beranggapan bahawa pengambilan ubat Panadol boleh menghilangkan simptom demam, ia tidak tepat. 

Ubat tersebut hanya boleh melegakan demam virus novel korona buat seketika waktu. Apabila kesannya sudah hilang dan jangkitan belum sembuh, demam tersebut akan datang semula.

Pembaca perlu faham bahawa simptom demam bagi sesuatu jangkitan hanya boleh disembuhkan apabila jangkitan tersebut sembuh. Setakat ini tiada vaksin atau ubat antiviral yang dapat menghindarkan atau merawat mereka yang terjangkit.

Tujuan pemberian ubat demam adalah bagi memberikan keselesaan kepada pesakit sementara sistem pertahanan badan giat melawan virus novel korona. Kaedah kawalan simptom ini dipanggil sebagai rawatan konservatif. 

Ia sering diberikan kepada penyakit yang tidak serius atau boleh sembuh dengan sendirinya. Usah risau, jika berlaku sesuatu yang tidak diduga, anda akan dirawat mengikut kepada keadaan klinikal semasa. Mereka yang positif virus novel korona bukan sahaja akan dikuarantin malah dipantau dengan rapi.

Banyak syarikat terkemuka di seluruh dunia seperti Johnson & Johnson dan Novavax sudah mula mencipta vaksin dan ubat antiviral yang boleh digunakan sebagai rawatan virus novel korona. Namun, proses tapisannya mungkin memakan masa.

Jika anda dikuarantinkan di rumah, pastikan anda menjaga kebersihan diri dan pakai topeng muka ketika di luar rumah

Wabak virus novel korona boleh dibendung?

Pada awal bulan Februari lepas, pakar-pakar di seluruh dunia pernah membuat andaian bahawa jangkitan ini akan reda sebelum April.

Jangkaan tersebut dibuat berikutan penurunan jumlah kes positif semenjak akhir bulan Januari. Namun begitu, pada pertengahan bulan Februari, dunia dikejutkan dengan 15,000 kes positif baharu dalam masa satu hari yang ternyata mengubah perspektif saintis berkenaan dengan persoalan bilakah wabak ini akan tamat.

Sebuah pusat penyelidikan di Amerika Syarikat pernah meramalkan jumlah mereka yang dijangkiti adalah melebihi 100,000 individu ketika kes positif hanya direkodkan pada angka 25,000

Perkara ini mengesahkan bahawa kes positif yang dipaparkan pada ruangan live update tidak mengambil kira akan jumlah mereka yang dijangkiti tetapi tidak menunjukkan simptom. 

Suasana panik di China terus berlaku terutamanya di saat viralnya video konspirasi di laman sesawang YouTube. Pihak berkuasa di seluruh dunia sedang bertungkus-lumus menyediakan alternatif bagi membendung jangkitan ini secepat mungkin.

Namun, perlu diingatkan bahawa, jika jangkitan ini dipandang ringan, ia berpotensi untuk menyebabkan masalah yang besar melibatkan banyak pihak di seluruh dunia. 

Mungkin peratusan kematian mereka yang dijangkiti virus novel korona rendah jika dibandingkan dengan SARS dan MERS, namun ia tidak bermakna jumlah mereka yang terkorban itu sedikit.

Kematian 2,000 individu di seluruh dunia masih tinggi tidak kiralah jika ia merupakan 2% atau 90%. Kalaulah Albert Einstein pernah berfalsafah bahawa Tuhan tidak pernah bermain dadu dengan alam semesta, mengapa kita mahu mengambil risiko tidak mengamalkan langkah pencegahan virus hanya kerana peratusan kematian rendah?

Konklusi

Jika anda mengalami simptom selesema dan demam, pastikan anda mendapatkan rawatan kesihatan. Basuh tangan secara kerap menggunakan sabun dan air dan amalkan etika batuk/bersin yang betul.

Kalaulah setiap individu mampu bekerjasama melakukan apa yang disarankan oleh pihak berkuasa, maka proses membendung penularan virus novel korona akan menjadi lebih mudah.


Sila whatsapp kami untuk tempahan:


Comments